Harian Metro
2 July 2004
Asia Pacific Land Bhd (AP Land) melalui anak syarikatnya, Hotel Fairlane Holdings Snd Bhd melancarkan penjualan produk hartanah terbarunya, Apartment Perdana Park di Bandar Tasik Puteri, Rawang, Selangor, semalam.
Projek bernilai RM140 juta itu membabitkan pembinaan sejumlah 1,680 unit pangsapuri kos sederhana yang dijual dari harga RM85,000 seunit ke atas.
Pengarah Eksekutif AP Land, Low Gee Tat, berkata projek itu bermula untuk fasa pertama membabitkan 400 unit kediaman dibuka untuk jualan dan diikuti tiga fasa seterusnya.
Menurutnya, projek perumahan berkualiti pengutamakan keselesaan pengguna dengan ciri mesra alam ini adalah sebahagian daripada usaha syarikat menyediakan pangsapuri mampu milik.
“Keseluruhan projk ini dijangka siap dalam tempoh tiga tahun lagi dan ketika ini kami sudah menerima 500 pendaftaran daripada pembeli bagi Apartment Perdana Park.
“Ketika ini, tapak berkenaan dalam proses meratakan tanah untuk dimulakan pembinaannya,” katanya.
Turut hadir di majlis itu adalah Pengarah Perkhidmatan Arkitek AP Land, Wee Beng Seng; Pengarah Kawasan (Pemasaran, Jualan dan Pembangunan Perniagaan), Stephen Yang dan Pengarah Eksekutif, Hoi Siew Choo.
Low berkata, pangsapuri 10 tingkat itu dilengkpi kemudahan kondominium termasuk lif, kolam renang, taman permainan, pusat asuhan kanak-kanak, kawalan keselamatan 24 jam dan surau.
Beliau berkata, bagi fasa pertama, pangsapuri menawarkan pilihan tiga reka bentuk dengan keluasan 240 meter persegi selain tiga bilik tidur, dua bilik air dan balkoni setiap unit.
“Kami juga memperuntukkan 20 peratus untuk kawasan hijau bagi memberi peluang kepada penduduk untuk menikmati suasana persekitaran hidup yang tenang,” katanya.
Beliau berkata, pembeli Apartmen Perdana Park juga boleh menikmati pelbagai kemudahan termasuk Tasik Puteri Golf and Country Club, taman interaktif, kedai, sekolah dan pasar raya yang masih dalam pembinaan.
Katanya, Perdana Park adalah antara projek syarikat itu bagi mengukuhkan kedudukan pasrannya dalam pembangunan hartanah terutama di utara Lembah Klang.
Menurutnya, berikutan peningkatan keuntungan daripada RM85 juta pada 2002 kepada RM160 juta tahun lalu, syarika merancang untuk memperluaskan pegangan pasaran saham dengan mengadakan promosi dan publisiti secara besar-besaran di Bandar Tasik Puteri.
“Syarika menjual lebih 600 unit kediaman di Bandar Tasik Puteri sejak November 1998 hingga tahun lalu dan menyediakan 4,800 unit rumah kepada pembeli.
“Dalam perancangan kami, Bandar Tasik Puteri merangkumi 120 hektar pusat dagangan, tempat letak kereta, sembilan sekolah rendah dan empat sekolah menengah serta taman interaktif yang mempunyai keluasan 12.8 hektar,” katanya.