Jaring, Rawang Lakes meterai usaha sama

Jaring Communications Sdn Bhd (Jaring) semalam memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan Rawang Lakes Sdn Bhd (Rawang Lakes) dan BTP Wireless Sdn Bhd (BTP) bagi kerjasama membina infrastruktur jalur lebar WiFi di Bandar Tasik Puteri, Rawang.

Picture
Winning partnership: (l-r) Asia Pacific Land Bhd managing director Low Su Ming, Jaring Communications Sdn Bhd CEO Dr Mohamed Awang Lah and BTP Wireless Sdn Bhd managing director Amludin Yusof

Kerjasama strategik itu adalah projek pertama seumpama yang akan dilaksana membabitkan bandar bersepadu di negara ini yang mempunyai infrastruktur jalur lebar WiFi.

Rawang Lakes Sdn Bhd adalah anak syarikat Asia Pacific Land Bhd (AP Land), pemaju Bandar Tasik Puteri.

Ketua Eksekutif Jaring, Dr Mohamed Awang Lah, berkata projek pembangunan infrastruktur jalur lebar itu membolehkan penduduk di taman perumahan berkenaan mendapatkan perkhidmatan internet dengan lebih mudah dan cekap.

Katanya, langkah diambil AP Land dan BTP itu dapat meningkatkan penggunaan jalur lebar Jaring di kawasan penempatan baru dan meningkatkan penguasaan syarikat terbabit sebagai penyedia perkhidmatan komunikasi, khususnya internet di negara ini.

“Usaha sama itu dilaksanakan menerusi penyediaan perkhidmatan jalur lebar oleh Jaring, manakala perkhidmatan WiFi disediakan BTP kepada penduduk Bandar Tasik Puteri,” katanya pada sidang media selepas menghadiri majlis menandatangani MoU itu di Kuala Lumpur, semalam.

Sementara itu, Low berkata, projek penyediaan perkhidmatan jalur lebar tanpa wayar satu Megabit itu akan membolehkan penduduk Bandar Tasik Puteri menggunakan perkhidmatan internet di kawasan setempat tanpa batasan.

Katanya, penyediaan jalur lebar mengembangkan penggunaan perkhidmatan Suara Melalui Protokol Internet (VoIP) pada kos lebih murah berbanding talian tetap di rumah.

Beliau berkata, jumlah rumah yang siap dibina di bandar itu mencecah 8,000 unit pada peringkat permulaan dan 5,000 unit daripadanya kini sudah diduduki, meliputi kawasan seluas 400 hektar.

“Projek pembangunan bandar bersepadu Bandar Tasik Puteri itu dijangka mengambil masa 10 hingga 15 tahun membabitkan pembinaan 25,000 unit rumah, selain pusat komersial, tiga sekolah dan pusat rekreasi,” katanya.