Wetland Tasik Puteri jadi santuari burung

Berita Harian
3 July 2004

Rawang: Kerajaan Selangor bersetuju menjadikan tempat pembiakan burung air di kawasan wetland di Bandar Tasik Puteri sebagai santuari burung dan destinasi pelancongan berpotensi negeri itu.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pelancongan, Kesihatan dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Lim Thuang Seng, berkata kerajaan juga sudah mengarahkan Majlis Perbandaran Selayang (MPS) mengenal pasti lokasi lain untuk tapak pelupusan sampah sehingga akhir tahun ini.

“Selain itu, kami meminta Persatuan Pencinta Alam Malaysia (MNS) menyediakan laporan lengkap mengenai kewujudan burung air di kawasan berkenaan. Kita berharap tindakan itu dapat menyelamatkan tempat pembiakan burung air berikutan ancaman tempat pelupusan sampah terhadap paya dan tasik di situ,” katanya kepada sidang media selepas meninjau tapak berkenaan semalam.

Hadir sama Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman NEgara (Perhilitan) Selangor, habsah Muda; Setiausaha MPS, Abdullah Marjunid; Ketua Taman dan Projek Khas MNS, Andrew Sebastian dan Ketua Sains dan Pemuliharaan MNS, STella Melkion.

Rabu lalu Berita Harian melaporkan Selangor mungkin kehilangan tempat pembiakan burung air, khususnya burung pucung kuak dan pucung serandua di kawasan wetland itu jika tiada langkah menyelamatkan kawasan itu daripada ancaman pencemaran, khususnya tempat pelupusan sampah yang berdekatan.

Paya yang menjadi kawasan pembiakan burung pucung kuak dan pucung serandau itu adalah yang kedua terbesar di Malaysia selepask Kuala Gula, Hutan Simpan Paya Bakau Matang, di Perak.

Lim berkata, usaha mewartakan kawasan berkenaan akan dilakukan secepat mungkin memandangkan kewujudan pusat pelupusan sampah, projek pembangunan dan aktiviti pertanian boleh menjejaskan tempat pembiakan burung air itu.

“Kawasan itu akan dimajukan serentak beberapa kawasan pembiakan burung air jenis lain, iaitu di Kuala Selangor dan Sabak Bernam. Pelancong dan pemerhati burung boleh mengunjungi ketiga-tiga tempat berkenaan untuk menikmati pemandang burung air.

Sementara itu, Habsah berkata, pihaknya akan meletakkan papn tanda larangan memburu di kawasan wetland itu bagi mengelakkan burung air diburu memandangkan 28 spesis burung air di kawasan itu didapati haiwan yang dilindungi sepenuhnya dan tiga spesis dilindungi dengan kebenaran memburu berlesen.